Bayaran pengeluaran i-Lestari yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbabit bermula esok sehingga 18 Mei depan.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata ahli-ahli akan dimaklumkan menerusi kemudahan i-Lestari Online sejurus selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka.

Menurutnya, tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran juga adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran di pihak bank masing-masing yang mungkin memakan masa satu hingga tiga hari dari tarikh pindahan yang dilakukan oleh KWSP.

Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias berkata sejumlah 3.51 juta permohonan telah diluluskan yang berjumlah lebih RM1.66 bilion sejak i-Lestari dilancarkan pada awal April lepas.

Beliau berkata, KWSP telah mengadakan perbincangan mendalam dengan bank-bank terbabit bagi memastikan persediaan sistem dan infrastruktur untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.

"Lanjutan daripada perbincangan tersebut, kami telah bersetuju bahawa kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan.

"Insya Allah jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal lagi," katanya.

Alizakri berkata KWSP juga amat maklum dan memahami keperluan mendesak ahli-ahlinya untuk menggunakan wang tersebut bagi mengharungi tempoh mencabar ini walaupun Pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka.

"Kami berharap ahli-ahli telah berfikir secara mendalam sebelum memutuskan jumlah yang akan dikeluarkan daripada Akaun 2 masing-masing kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang utuh pada masa depan."

"Setelah PKP ditamatkan, kami menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan yang akan membantu mengkaji dan merangka semula rancangan persaraan mereka," katanya.

-- BERNAMA