Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan dijumpai lemas dalam baldi ketika berada di bilik air rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai, di sini, petang Khamis.

Bayi malang itu, Muhammad Arash Zahrain Osman ditemui terlungkup di dalam baldi berisi air oleh ibunya sekitar 1 tengah hari selepas curiga terdengar bunyi paip air terbuka di tandas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Arshad Abu berkata mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama ibu dan ayah serta tiga adik beradik yang lain. Sebelum kejadian, ibu mangsa telah menggunakan tandas berkenaan untuk membersihkan abang mangsa yang berusia dua tahun.

“Ayah dan ibu mangsa kemudian makan tengah hari manakala tiga abangnya bermain di bilik tidur hadapan rumah sebelum si ibu menjengah ke tandas berkenaan dan menemui anak bongsunya dalam keadaan kepala tertonggeng ke dalam baldi dan kaki ke atas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut Arshad berkata, ibu mangsa mendakwa bayi malang itu ditemui dalam keadaan tidak bergerak dan tiada sebarang jeritan daripadanya.

“Pemeriksaan secara fizikal ke atas tubuh mangsa didapati tiada sebarang tanda kecederaan luaran dan badan bayi malang itu bersih serta tiada kesan kecederaan lama atau baharu.

“Mangsa juga masih memakai lampin tanpa baju dan seluar ketika ditemui,” tambahnya.

Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk bedah siasat.