Bayi malang berusia 16 bulan yang koma akibat didera ibu kandungnya di rumah mereka di Paya Lahar Kepah, Kepala Batas, Rabu lalu disahkan meninggal dunia.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang memberitahu, mangsa Kong Chaw Wan meninggal dunia pada jam 5.05 petang ini selepas denyutan jantung mangsa berhenti.

Kata beliau, ekoran itu pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Bayi malang itu berada dalam keadaan koma selepas mengalami pendarahan di otak, lebam di dahi, pipi kanan, bawah mata kiri serta luka lama di bahagian dada, tangan dan kaki," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

BACA: Bayi 12 bulan koma dipercayai didera ibu mental

Tambah Noorzainy, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai perubatan ICU hospital berkenaan kira-kira jam 5.30 petang yang memaklumkan bayi malang itu telah meninggal dunia pagi ini sbeelum denyutan jantung mangsa berhenti pada jam 5.05 petang ini.

Katanya, bedah siasat dijangka akan dilakukan esok.