Seorang bayi berusia 17 bulan dipercayai dilarikan selepas kediaman keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap, Muar dipecah masuk pagi tadi.

Kehilangan Nur Aisyah Hasmizan itu hanya disedari selepas neneknya, 68 tahun, yang bangun jam 5 pagi untuk menyediakan juadah sahur dan mendapati pintu belakang rumah terbuka.

Ibu kanak-kanak malang itu, Siti Noorfadilah Yusofe, 30 tahun, berkata ketika kejadian dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

Dia yang turut bangun untuk menyediakan bijirin buat anak sulungnya yang berusia 10 tahun masuk semula ke dalam bilik tidur dan mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tidak berada di dalam bilik berkenaan.

Dia kemudian mencari di seluruh kawasan rumah namun gagal menemui anaknya sebelum membuat laporan polis setengah jam kemudian.

Menurutnya, dua telefon bimbit turut hilang.

Tambah Siti Noorfadilah, mereka sekeluarga tidak pernah menerima sebarang panggilan daripada mana-mana individu tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, pihaknya juga menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan, K-9, dan menyeru orang ramai untuk tampil ke balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat.