Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian bayi berusia 17 bulan di Pulau Pinang 6 Jun lalu akibat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata sekumpulan pakar telah menjalankan ujian makmal melalui sampel darah ynag diambil terhadap bayi tersebut sebelum kematiannya.

“Mangsa telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Lepas pada 3 Jun lalu sebelum meninggal dunia.

“Kes ini menjadikan Pulau Pinang merekodkan kes pertama kematian membabitkan penyakit HFMD di Malaysia.

“Perbincangan oleh pakar-pakar perubatan telah mengesahkan bahawa kematian bayi berkenaan adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru akibat komplikasi virus EV71 yang menyebabkan penyakit HFMD,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.



Sehingga kini, terdapat 39,174 kes membabitkan penyakit HFMD direkodkan di seluruh negara.

Sementara itu, Pulau Pinang pula merekodkan 2,894 kes iaitu peningkatan sebanyak 116 peratus berbanding 154.6 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah beliau, pelbagai langkah bagi menangani penyakit HFMD giat dijalankan termasuk meminta guru-guru membuat pemeriksaan di depan pintu masuk sekolah.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan di Sarawak dilaporkan meninggal dunia akibat HFMD pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan punca kematian kanak-kanak itu bukan disebabkan HFMD tetapi akibat jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia).