Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 25 hari maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh penghadang besi jalan di Kilometer (KM) 47 Jalan Ipoh-Lumut (arah Lumut).

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 4 petang tadi sewaktu Proton Wira yang membawa lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Ipoh.

Katanya, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49, ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65, dan anak lelakinya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal, 25 hari.

Dua lagi penumpang iaitu isteri kepada pemandu, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan seorang lagi anak mereka, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, masing-masing cedera dan menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang.

"Kira-kira jam 4 petang pihak kami menerima maklumat kemalangan jalan raya maut di KM 47 Jalan Ipoh - Lumut (arah Lumut) melibatkan kereta jenis Proton Wira yang terbabas sendiri.

"Siasatan awal di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Zamzainal bersama dua penumpang perempuan dan dua penumpang lelaki.

"Sampai di tempat kejadian, kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar penghadang besi jalan sebelah kanan.

"Akibat dari itu kereta remuk teruk di bahagian hadapan, cermin hadapan pecah dan bumbung kemek," katanya pada Selasa.

Ujarnya lagi, punca kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.