Seorang bayi lelaki cedera dipercayai digigit anjing ketika ditemukan di tepi sebuah kedai serbaneka di Jalan PKSK1, di sini, pagi tadi.

Bayi yang hanya berbalut sehelai kain berwarna hijau itu cedera di kaki dan lutut sebelum ditemui seorang lelaki yang kemudian menghubungi polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 4.13 pagi.


“Anggota yang tiba di tempat itu kemudian melihat kesan cedera di kaki dan lutut bayi dipercayai digigit anjing. Bayi itu dihantar ke Hospital Serdang dan ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) untuk rawatan lanjut.

“Keadaan bayi lelaki yang masih belum dapat dikenal pasti bangsanya itu kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk hubungi IPD Serdang atau datang ke balai polis berhampiran untuk bantu siasatan kes di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.