Virus polio yang menjangkiti seorang bayi lelaki tiga bulan disyaki berpunca daripada pengunjung dari luar Sabah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, terdapat dua kemungkinan sama ada virus itu datang dari Filipina atau keluarganya ada melancong ke luar negara.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly berkata, kementerian kini sedang melakukan pemantauan rapi berhubung kes berkenaan.

"Setakat ini yang paling munasabah virus itu datang dari luar Sabah kerana siasatan kami mendapati keluarga (mangsa) tiada rekod melancong ke luar negara," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya pada Isnin.

BACA: Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio


Mengulas mengenai keadaan bayi tersebut, Dr Dzulkefly berkata, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk telah diberikan tiga suntikan vaksin di sebuah hospital.

Buat masa ini, Dr Dzulkefly berkata, tiada keperluan bagi pihak Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan pengambilan vaksin bagi virus berkenaan sebaliknya, lebih memberikan fokus kepada pemberian vaksin khususnya di kawasan pedalaman.

"Kita akan fokus dahulu pada pemberian vaksin terutamanya di kawasan pedalaman kerana buat masa ini ia bukan berada di peringkat merbahaya sebelum kita putuskan untuk mewajibkan pengambilan vaksin", katanya lagi.

Beliau turut menggesa agar ibu-bapa mengambil langkah pencegahan dengan memastikan tahap kebersihan diutamakan terutamanya ketika memegang bayi.

Kali terakhir Malaysia dilanda virus polio adalah pada tahun 1992 dan telah diisytiharkan bebas daripada virus berkenaan pada Oktober 2000.

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang bayi lekaki tiga bulan dari Tuaran Sabah mengalami demam dan lemah anggota badan dan disahkan dijangkiti virus polio setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada jangkitan berkenaan.