Seorang bayi lelaki warganegara Myanmar berusia setahun lima bulan ditemui mati dipercayai akibat lemas berhampiran Jambatan Chemor, dekat Sungai Chemor di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mangsa yang dikenali sebagai Ah Hung beralamat di Tanah Hitam, Chemor pada pukul 5.38 petang.

"Pegawai penyiasat dimaklumkan oleh seorang doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, semasa kanak-kanak itu tiba kira-kira pukul 6.30 petang dia telah meninggal dunia.

"Doktor juga memaklumkan, tiada sebarang kesan lebam atau kecederaan pada tubuh badannya. Bedah siasat ke atas bayi itu akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

A. Asmadi berkata pihak polis telah menahan ibu mangsa Shwe Hnin, 40, dan bapa mangsa Bawi Naing, 28, yang bekerja sebagai pekebun di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

A. Asmadi berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian, ibu mangsa sedang memasak di dapur, manakala kanak-kanak malang itu bermain di tepi rumah yang berhampiran sungai dengan jarak kira-kira 50 meter sebelum didapati hilang lima minit kemudian.

Beliau berkata ibu mangsa kemudian menghubungi suaminya sebelum mereka mula mencari di kawasan kebun namun gagal menemui bayi itu dan meminta majikan mereka mendapatkan bantuan pihak polis.

"Berdasarkan temu bual dengan majikan, pasangan suami isteri itu telah bekerja dengannya sejak Julai tahun lepas," katanya.

Katanya suami isteri itu juga tidak menguruskan sebarang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, katanya.

-- BERNAMA