Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas.

Nahas berlaku di Kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong, Setiu pada Sabtu.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu menyebabkan mangsa Nur Raisha Delisha Mohamad Amirul Affis, lima bulan, bapanya Mohamad Amirul Affis Mohamad, 23, dan seorang lagi mangsa Mohamad Amirul Akimi Mohamad, 15, maut.

Nur Raisha Delisha maut ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Setiu manakala dua lagi maut ditempat kejadian.

Ketika kejadian, tujuh sekeluarga itu dari arah Kota Bahru, Kelantan menghala ke Ajil, Hulu Terengganu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki mereka dikatakan telah hilang kawalan dan terlanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu Hanisyafiqah Syazwany Yaakub, 27, dan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi penumpang berusia tiga dan lapan tahun parah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.