Seorang bayi perempuan dipercayai berusia kira-kira tujuh hari ditemukan masih bernyawa meskipun disumbat dalam kotak pengering rambut dan dibuang ke dalam tong sampah di sebuah lorong di Bangkok, Thailand.

Bayi kecil itu ditemui seorang penduduk tempatan bernama Maneerang Phangmam yang mengutip botol untuk kitar semula di daerah Khlong Sam Wa, Sabtu lalu.

Menurut Maneerang, dia ternampak bayi yang dibungkus dengan kain putih itu ketika menyelongkar tong sampah tersebut.

"Saya baru habis kerja dan sedang mengumpul botol apabila saya ternampak kotak pengering rambut itu. Saya mahu melihat jika ada barang berharga di dalamnya dan ketika itulah saya ternampak bayi berkenaan.

"Saya berasa takut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu saya menjerit meminta tolong," kata wanita berusia 32 tahun itu.

Difahamkan bayi terbabit tidak menangis meskipun berada dalam keadaan kepala ke bawah di dalam tong sampah yang dipenuhi sisa makanan dan sayur busuk.

Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Nopparat Rajathanee dan dijaga dengan baik oleh petugas hospital.

Sementara itu, pihak polis dilaporkan sedang menjalankan siasatan dan menyoal siasat penduduk setempat di mana bayi tersebut ditemui. - Agensi