Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanan dipercayai didera ketika di bawah penjagaan pengasuhnya di Seksyen 2 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata laporan dibuat oleh bapa mangsa berusia 28 tahun selepas menyedari kesan kecederaan itu ketika mangsa diambil dari rumah pengasuhnya.

"Mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung dan pemeriksaan menemukan terdapat kesan dipulas sehingga menyebabkan tangan mangsa patah.

"Ekoran daripada laporan itu, polis telah menahan pengasuh yang berusia 46 tahun itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.