Seorang bayi perempuan masih hidup ditemui di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, pada Khamis.

Bayi berkenaan ditemui adik kepada pemilik rumah berkenaan, Md Rashid Bakar, 54, ketika datang untuk melihat kediaman terbabit pada 9.15 pagi.

Menurut Md Rashid, dia ternampak sesuatu yang bergerak di dalam bungkusan kain batik berwarna merah di hadapan pintu rumah berkenaan.

"Apabila diperiksa baru saya sedar itu adalah bayi dan segera menghubungi polis," katanya di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata bayi perempuan masih bertali pusat itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan pada tubuhnya.

"Siasatan awal mendapati bayi itu ditinggalkan tidak melebihi 24 jam sebelum ditemui," katanya yang meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Kataya, bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.