Seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah kilang di Jalan Kebun Sayur, Bakri Batu 6, Muar pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian sekitar 8.30 pagi tadi, bayi yang masih bertali pusat dengan dibalut kain berwarna biru gelap itu ditemui oleh pemilik kilang berkenaan di atas longgokan kayu.

“Kita terima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terjumpa bayi perempuan yang ditinggalkan di atas longgokan kayu di hadapan kilangnya.

“Bayi itu ditinggalkan dalam bungkusan kain di atas zink penutup longgokan kayu hadapan kilang dan masih bertali pusat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bayi perempuan itu telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) oleh ambulans pada jam 9.15 pagi tadi bagi menerima rawatan lanjut.

Jelasnya, siasatan berhubung kes ini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.