Tutup

Bazar Peduli Rakyat: Komitmen kerajaan ringankan beban - Salahuddin

Bazar Peduli Rakyat: Komitmen kerajaan ringankan beban - Salahuddin
Salahuddin berkata, inisiatif BPR yang telah diadakan itu termasuk mengadakan jualan komoditi terpilih oleh usahawan pengeluar produk yang memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam mengurangkan beban rakyat terutama melibatkan barangan keperluan harian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi pelaksanaan Program Bazar Peduli Rakyat (BPR), ia berjaya mengurangkan harga keperluan asas antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar awam.
Katanya, agensi-agensi di bawah kementeriannya (MOA) dilibatkan secara langsung dalam menjalankan inisiatif itu yang telah diadakan sebanyak 17 kali di sembilan lokasi.

“Jualan terus stok bekalan makanan, produk Agromas, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri asas tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Pusat Operasi FAMA.
“Jualan terus produk ikan dan hasilan laut oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT); dan jualan terus ayam, daging dan telur oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan setempat.

“Jualan komoditi terpilih oleh usahawan pengeluar produk yang memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna, jualan komoditi terpilih secara terus dari ladang berhampiran oleh usahawan setempat dan jualan Happy Hour oleh usahawan, iaitu produk dijual pada harga borong untuk mempromosikan produk usahawan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) berkenaan mekanisme yang diambil oleh MOA dalam penganjuran BPR.

Mengikut rekod, antara lokasi yang pernah dijalankan BPR adalah di PPK Kg Pelet, Pulau Pinang, Pejabat MARDI, Manir Terengganu dan di Masjid Temerloh Jaya, Pahang dengan anggaran jumlah pengunjung seramai 25,402 orang dengan nilai anggaran jualan sebanyak RM700,000.