Kerajaan buat masa ini hanya membenarkan kaedah pesanan dan penghantaran makanan ke rumah melalui perkhidmatan e-hailing pada bulan Ramadan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan mengambil makanan di gerai disediakan dan konsep bazar pandu lalu masih diperhalusi Kabinet.

"Kita membincangkan tadi dalam mesyuarat Kabinet, yang kita benarkan setakat ini ialah pesanan yang dihantar ke rumah melalui perkhimatan e-hailing. Itu kita benarkan setakat ini.

"Ada dua lagi konsep yang dicadangkan iaitu panggilan, order dan kemudian ambil pesanan di gerai-gerai yang disediakan. Konsep kedua ialah pandu lalu," "katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Langkah memperhalusi dua cadangan berkenaan penting bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP semasa bulan Ramadan dan mengelak daripada berlaku kesesakan.

"Kabinet meminta perkara ini diperhalusi sebab kebimbangan kita ialah jumlah kenderaan yang meningkat apabila konsep pandu lalu dan sebagainya diperkenalkan... sebab saya percaya semua akan keluar serentak dan menyebabkan jumlah ramai (orang)," tambahnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata kerajaan mahu memastikan orang ramai tidak menggunakan alasan untuk keluar membeli makanan, jika cadangan bazar pandu lalu dipersetujui.

"Kita juga bimbang jika mereka dibenarkan untuk pandu lalu atau mengambil makanan itu, akan ada alasan baharu untuk keluar ambil makanan dipesan, atau nak pandu lalu.

"Ini akan sukarkan pihak polis kerana lebih banyak alasan boleh diberikan oleh mereka yang agak sukar mematuhi PKP sebelum ini," ujar beliau.

Justeru, cadangan-cadangan yang dikemukakan melibatkan e-bazar akan diperhalusi dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.