Semua pasar dan bazar Ramadan di Sarawak tidak dibenarkan beroperasi pada bulan Ramadan.

Keputusan itu adalah bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan.

Bagaimanapun Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberi kelonggaran bahawa para peniaga makanan dibenarkan melakukan aktiviti jualan secara terhad di kawasan kediaman mereka sahaja.

Tambah beliau, para peniaga juga dibenarkan beroperasi dari pukul 3 petang sehingga jam 10 malam.

"Meskipun demikian terdapat syarat yang harus mereka patuhi iaitu aktiviti jual beli hanya melibatkan perkhidmatan bawa pulang (takeaway) sahaja bagi pelanggan.\

“Para peniaga tidak dibenarkan meletakkan meja untuk pelanggan berbuka puasa. Di samping itu, pelanggan perlu mengikut masa ditetapkan untuk membeli juadah bagi berbuka dan bersahur sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu. Turut hadir Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tambah Abdul Karim lagi, pelanggan dan peniaga juga perlu mematuhi garis panduan untuk penjarakan sosial bagi memastikan kebersihan dan keselamatan mereka sentiasa terjaga.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan selain peniaga bazar, turut dibenarkan beroperasi dengan perkhidmatan bawa pulang ialah sektor perhotelan, restoran dan restoran makan segera di seluruh negeri itu.

Ujar beliau, perkhidmatan bagi trak-trak makanan di negeri tersebut pula tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.