Beban bukti gangguan seksual turut dikaji - Hannah Yeoh

Beban bukti gangguan seksual turut dikaji - Hannah Yeoh
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh pada sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dalam menggubal Akta Gangguan Seksual, beban bukti di pihak mangsa turut dikaji termasuk kemungkinan memperkenalkan piawaian berbeza dalam memastikan jenayah itu dapat dibuktikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh Tseow Suan.

Beliau berkata banyak mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kes itu kerana jenayah itu bersifat subjektif dan sukar untuk mengemukakan bukti bahawa mereka menjadi mangsa.

"Gangguan seksual sangat subjektif, kadang-kadang ia bukan fizikal tapi lisan, kata-kata anda menentang kata-kata saya, jadi bila kita mahu gubal akta itu nanti, kita akan pastikan beban bukti di pihak mangsa mengikut piawaian berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique mengenai akta itu yang tidak sempat dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini.

"Untuk hukuman bagi jenayah itu, senario paling teruk pun buang kerja sahaja dan kalau kita mahu pergi jauh mahu pastikan dia dipenjara kena guna Kanun Keseksaan dan banyak mangsa tidak bersedia, sebab itu kenapa kita perlukan akta spesifik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Pada masa ini kita tidak ada undang-undang khusus bagi gangguan seksual tetapi kita ada kod etika dan peraturan atau garis panduan seperti Kanun Keseksaan, Pindaan Akta Kerja 1955, Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam.

"Akta Gangguan Seksual itu akan digubal sebaik sahaja kajian menyeluruh mengenai kes gangguan seksual selesai dilakukan pada hujung Januari 2019", katanya.

Yeoh berkata hasil kajian itu nanti akan diteliti dan dijadikan panduan untuk kementerian menggubal akta itu seterusnya dapat menangani kelemahan dalam perundangan dan peraturan sedia ada.

-- BERNAMA