Berikutan hujan berterusan sejak awal pagi hingga petang Rabu, beberapa kampung di Kuala Krai dinaiki air akibat limpahan air sungai.

Beberapa batang jalan kampung turut ditenggelami air melibatkan Kampung Chenulang, Kampung Pasir Jering, Kampung Kebun Pisang dan Kampung Enggong.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Zaid Ahmad, beberapa batang jalan antaranya Jalan Chenulang ke Kampung Keruh tidak boleh dilalui petang tadi akibat limpahan air Sungai Chenulang.

“Jalan Kampung Enggong ke Sungai Mas tidak boleh dilalui akibat limpahan sungai Durian, namun tiada perpindahan penduduk dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau menjelaskan, air mulai naik sekitar jam 4 petang tadi selepas hujan turun dengan lebat bermula awal pagi hingga tengahari tadi.

Beberapa bacaan sungai utama dilaporkan berlaku peningkatan namun masih berada di paras biasa.

Beliau menjelaskan, hujan masih lagi turun di kebanyakan kawasan di Kuala Krai dengan sederhana lebat.