Tutup

Beberapa pegawai FINAS dipanggil SPRM - Gobind

Beberapa pegawai FINAS dipanggil SPRM - Gobind
"Sistem saluran dana ini perlu distruktur semula bagi memastikan semua dana digunakan dengan tujuan yang betul tanpa ketirisan." - Gobind Singh
PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengesahkan beberapa pegawai  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pertikaian penyaluran dana perbadanan itu tahun lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang dipanggil kerana dibimbangi mengganggu siasatan suruhanjaya tersebut.

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam apa juga perkara melibatkan rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa dalam industri kreatif negara," katanya selepas mesyuarat dan lawatan kerja di pejabat FINAS di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Gobind berkata, kerajaan akan mengkaji semula dana yang disalurkan kepada FINAS ekoran wujud masalah dari segi pengendalian dana tersebut.

Gobind berkata sistem saluran dana itu perlu distruktur semula bagi memastikan semua dana digunakan dengan tujuan yang betul tanpa ketirisan.

"Saya lihat wujudnya masalah dalam cara dana ini digunakan dan ada keperluan untuk kita kaji semula proses saluran dana ini.
"Apa yang kita perlu lakukan adalah penstrukturan semula prosedur saluran dana supaya kita dapat pastikan semua pihak menikmati dana ini sama rata," katanya.

Gobind juga telah meminta untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pihak berkepentingan supaya semua cadangan dapat diketengah dan dipertimbangkan oleh kementeriannya.

Katanya lagi, beberapa agensi lain turut memerlukan penstrukturan semula, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MYNIC Berhad.