Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

"Tidak ada syarikat yang spesifik tetapi ada beberapa syarikat telah dipanggil untuk membantu siasatan termasuk syarikat pembinaan yang dikatakan memperoleh projek pembinaan makmal," kata sumber itu kepada Astro AWANI pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan SPRM menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM30 juta.

Dalam pada itu, sumber itu turut mengesahkan tiada tangkapan dibuat ke atas mana-mana pegawai kementerian tersebut sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

"Berita mengenai SRPM telah membuat tangkapan ke atas mana-mana pengawai kementerian adalah tidak benar," katanya.

Sumber itu bagaimanapun menegaskan, pembelian berbentuk darurat bukan satu syarat untuk sewenang-wenangnya melantik mana-mana kontraktor tanpa garis panduan yang ditetapkan.

"Ia mesti terdiri daripada kontraktor yang mempunyai lesen, kelayakan dan kepakaran dalam bidang tertentu.

"SPRM akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh. Kami minta agar hentikan sebarang spekulasi. Jika ada maklumat boleh terus salurkan kepada SPRM," kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan terbabit.

Ini kerana, jelas beliau, sebarang bentuk spekulasi akan menganggu siasatan dan menjatuhkan imej organisasi dan individu yang ditohmah.

"Siasatan sedang dijalankan dan biarlah SPRM menjalankan tanggungjawab," katanya.