Bekalan air di kawasan Klang yang terjejas ekoran pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som, dalam kenyataan hari ini, berkata syarikat itu sedang berusaha menstabilkan bekalan air ke kawasan yang terjejas.

"Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan yang masih terjejas.

"Bagi pengguna yang telah menerima bekalan air, mereka dinasihatkan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan ke kawasan yang masih terjejas berjalan lancar," katanya.

Menurut kenyataan itu, bekalan air di kawasan Kuala Selangor yang turut terjejas akibat pencemaran itu telah pulih 100 peratus, 7 pagi ini.

Semalam, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran itu dikesan pada 7 malam. Bagaimanapun, kesemua loji berkenaan telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.

-- BERNAMA