Bekalan air terawat telah mula disalurkan ke dalam sistem agihan untuk dibekalkan ke premis pengguna mulai jam 1 pagi tadi.

Berikutan itu, sebahagian kawasan terjejas telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi ini.

Dalam kemas kini terbaharu di laman webnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis.

Bekalan air di semua kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya dalam masa 72 jam.

Dalam pada itu, Loji Rawatan Air Bukit Tampoi belum beroperasi kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

Sementara bekalan pulih sepenuhnya, lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Sebanyak 11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasinya 24 jam termasuk menyediakan 18 lokasi pili awam.

Gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Selangor berikutan pencemaran bau melibatkan sumber bekalan air ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.