Hampir 56 peratus daripada kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di beberapa kawasan di ibu negara dan Petaling, sudah mula menerima bekalan air.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pihaknya akan terus menghantar lori air ke kawasan-kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air.

"56 peratus daripada kawasan terjejas sudah menerima bekalan air. Kami akan meneruskan menghantar bekalan air melalui lori air ke kawasan yang memerlukan bekalan air," katanya kepada Astro AWANI menerusi pesanan mesej ringkas di sini, hari ini.

Sementara itu, Amin, dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja penggantian perkakasan sistem pengagihan air di Petaling dan Kuala Lumpur yang telah dijadualkan pada 27 September hingga 28 September telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Oleh itu, katanya kawasan-kawasan di Petaling dan Kuala Lumpur yang tersenarai dalam kenyataan media sebelum ini tidak akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada tarikh tersebut.

Sebelum ini, pengguna di kawasan-kawasan tersebut dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya sebelum 27 September ini kerana gangguan bekalan air yang bakal berlaku.