Tabung darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kini dalam keadaan kritikal berpunca daripada permintaan yang tinggi.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, bekalah darah hanya mampu bertahan sehingga tiga hari sahaja.

"Pengurangan stok bekalan darah yang mendadak ekoran daripada kegunaan yang tinggi semasa musim perayaan yang menyebabkan bekalan darah di hospital itu hampir putus," katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri HRPZII di sini, pada Ahad.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran dua bonda saudara Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan dan Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

Dr Selasawati berkata, pihaknya menyeru orang ramai tampil untuk menderma kerana peningkatan kes-kes terutama kes kecemasan, trauma dan pembedahan yang sememangnya memerlukan bekalan darah yang banyak.

"Sepanjang musim perayaan ini HRPZII memerlukan bekalan darah yang agak banyak dan bekalan yang ada sekarang sangat kritikal," katanya.

Katanya, antara inisiatif yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah berkenaan, terdapat pegawai dan doktor pakar HRPZII turut 'turun padang' bagi menderma darah.

"Saya berharap perkara itu akan diikuti oleh 4,300 kakitangan yang bertugas di hospital berkenaan," katanya.

Untuk rekod, semasa pasca hari raya, hospital itu mempunyai hampir 1,000 pesakit yang menerima rawatan dalam wad.

-- BERNAMA