Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Sapura Energy Bhd, berkuatkuasa semalam.

Peneraju industri minyak dan gas huluan itu dalam satu kenyataan berkata Shamsul menggantikan Tan Sri Dr Hamid Bugo, yang menjadi pengerusinya pada bulan lepas tetapi bersara selepas bersama dengan syarikat selama lebih dari lapan tahun.

Shamsul merupakan calon pengarah Permodalan Nasional Bhd (PNB), kata Sapura Energy, yang dimiliki secara kolektif sebanyak 40 peratus oleh PNB dan dana bersekutunya.

Beliau juga merupakan peneraju utama dalam industri minyak dan gas, selepas mengetuai Petronas sebagai Presiden dan CEO sejak dari 2010 hingga 2015. Beliau menyertai Petronas pada 1975 dan memegang pelbagai jawatan sepanjang tempoh 40 tahun bersama organisasi itu.

Shamsul telah memainkan peranan penting dalam pengembangan global syarikat minyak negara melalui pemerolehan Progress Energy Canada dan pembangunan gas syal kepada LNG melalui projek Pacific North West LNG.

Beliau juga merupakan pengerusi kumpulan MMC Corporation Bhd sejak 16 Julai 2015.

Sebelum ini, beliau adalah Pro-Canselor Universiti Teknologi Petronas dan ahli lembaga pemegang amanah Razak School of Government.

CEO Kumpulan dan Presiden Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata syarikat tersebut akan mendapat manfaat daripada kemampuan kepimpinannya, kepakaran yang mendalam dan wawasan strategik ketika kumpulan bergerak ke tahap pertumbuhan seterusnya.

Shahril turut merakamkan penghargaan kepada Hamid yang telah menjadi ahli lembaga pengarah syarikat sejak dari 2012.

-- BERNAMA