Bekas jurutera Adly Zahari pada Jumaat dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11.

Adly, 47, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka dan Pengerusi Amanah Melaka merupakan anak kelahiran Kampung Pulau Durian Tunggal Alor Gajah dekat sini.

Beliau telah berkahwin dengan Dalilah Awaludin, 48, dan mempunyai dua anak lelaki dan lima anak perempuan.

Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah belajar di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu di sini.

Aktif berpidato di peringkat sekolah dan universiti serta beberapa kali menjadi johan pidato selain merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM pada 1992.

Adly sebelum ini merupakan seorang ahli korporat dan pernah dilantik sebagai Eksekutif di Malaysia International Shipping Corporation (2000-2005) dan pernah bekerja sebagai jurutera di Universiti Multimedia (1997-2000).

Antara jawatan lain dalam politik yang masih dipegang sehingga kini termasuk Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara, Timbalan Pengerusi Biro Ekonomi Nasional Parti Amanah Negara serta Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi PH selain pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka (2011-2015).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Adly mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Yunus Hitam dan calon PAS Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Katil.

-- BERNAMA