Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A Jalil, 73, meninggal dunia tengah hari tadi, di kediamannya di Sungai Buloh.

Hadenan, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meninggalkan isteri Puan Sri Faridah Abdul Hamid dan tiga anak.

Pengerusi dan Pengarah Kumpulan Protasco Berhad, syarikat pembinaan jalan dan kejuruteraan, Allahyarham adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang ekonomi pada 1970 sebelum memulakan kerjaya dalam pentadbiran dan diplomatik.

Karier awal beliau bermula di pelbagai kementerian termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Setiausaha di Kementerian Kerja Raya.

Selepas bersara daripada jawatan akhirnya sebagai Ketua Audit Negara, Hadenan yang juga anak kelahiran Melaka berkhidmat di beberapa syarikat seperti Unilever (M) Holding Sdn Bhd, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PNB Commercial Sdn Bhd dan Malayan Banking Bhd.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Protasco, Datuk Sri Ir Chong Ket Pen, berkata, Hadenan bukan sahaja pengerusi tetapi juga sebagai ketua keluarga Protasco.

"Bagi pihak syarikat, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas semua sumbangan beliau sepanjang sembilan tahun bersama Protasco.

"Kehadiran dan kepimpinannya akan terus menjadi ingatan semua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-- BERNAMA