Bekas MB Selangor meninggal dunia

Bekas MB Selangor meninggal dunia
Abu Hassan yang merupakan ahli politik dari parti UMNO, menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor ke-12 antara tahun 1997 sehingga 2000.
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar disahkan meninggal dunia pada jam 8.05 malam tadi pada usia 77 tahun.

Sinar Harian yang memetik sumber terdekat melaporkan, Abu Hassan tidak sedarkan diri di rumahnya petang tadi sebelum dibawa ke Columbia Asia Hospital, Bukit Rimau, di sini, oleh ahli keluarganya.

Pihak hospital kemudian mengesahkan Abu Hassan meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan berkaitan pengebumian difahamkan akan dilangsungkan esok (Ahad, 9 September).

Abu Hassan yang merupakan ahli politik dari parti UMNO, menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor ke-12 antara tahun 1997 sehingga 2000.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat (1985–1986), Menteri Wilayah Persekutuan (1986–1987), Menteri Luar (1987–1991) dan Menteri Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Domestik (1991–1997).

Abu Hassan juga merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor (1978–1997) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang (1997–1999) di Selangor.

Tokoh politik ini dilahirkan pada 15 September 1940 di Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Belimbing (1946–1950) sebelum ke Sekolah Tinggi Klang (1951–1957), dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (1958–1959), sebelum menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana di University of Hull, England.