Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memohon untuk membatalkan saman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan salah urus akaun banknya yang diteliti dalam perbicaraan rasuah SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memberitahu media demikian selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid hari ini.

Yu diwakili oleh Jessica Ram Binwani.

"Yu memfailkan permohonan atas alasan bahawa saman itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan untuk memperkuat pembelaan Najib dalam kes SRC International. Yu juga telah mengajukan sijil perakuan segera bagi pengurusan kes yang akan diadakan hari ini.

“Kami akan bertindak terhadap permohonan pembatalan itu kerana beliau perlu menjelaskan tindakannya dengan teliti.” katanya sambil menambah pengurusan kes ditetapkan pada 4 Fed di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris.

Najib, melalui Tetuan Shafee & Co telah memfailkan saman itu pada 9 Dis tahun lepas di Mahkamah Tinggi dan menamakan AmBank, AMMB Holdings Berhad dan Yu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian apabila mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib mendakwa bahawa defendan tanpa kebenaran telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga.

Dia mendakwa bahawa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.

Dia mendakwa Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah ´ditandakan merah´ oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas perdana menteri itu berkata, defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya walaupun akaunnya ditandakan merah.

Najib juga mendakwa bahawa dia hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC selepas pendakwaan telah mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.

Dia memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

-- BERNAMA