Seorang bekas pembantu tadbir agensi Kerajaan Negeri Melaka direman selama empat hari bagi membantu siasatan atas dakwaan seleweng wang biasiswa yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta.

Majistret Analia Kamaruddin membenarkan suspek berusia 31 tahun tersebut direman selama empat hari bermula Jumaat sehingga 14 Januari ini.

Menurut sumber, lelaki tersebut ditahan di Felda Menggong, Alor Gajah Melaka pada pukul 7.15 malam, pada Khamis.

Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 - Foto Astro AWANI

Jelas sumber, dalam satu transaksi terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Melaka mendapati suspek telah memasukkan wang biasiswa pelajar di sebuah sekolah agama milik kerajaan negeri bernilai lebih RM35,400 ke dalam akaun peribadinya.

Tambah sumber lagi, melalui semakan awal dokumen yang terlibat mendapati jumlah penyelewangan yang dilakukan oleh suspek sebelum ini telah mencecah hampir RM2.5 juta bagi penyaluran biasiswa untuk diagih-agihkan ke 77 sekolah di Melaka.

Kata sumber lagi, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.