Bekas pengerusi Hamas temui Dr Mahathir

Bekas pengerusi Hamas temui Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Pergerakan Islam Palestin (Hamas) di Pejabat Perdana Menteri.
PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi pergerakan Hamas, Khalid Meshaal hari ini menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi berbincang mengenai perjuangan dan keadaan semasa di Palestin.

Perbincangan antara delegasi lapan anggota Hamas yang diketuai Khalid dan Dr Mahathir berlangsung selama kira-kira sejam.

Khalid yang ditemui wartawan selepas pertemuan itu berkata Hamas mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas layanan mesra yang diberikan terhadap kehadiran mereka, di samping menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap sokongannya yang berterusan kepada perjuangan Palestin bagi menamatkan pendudukan Israel di negara itu.

"Keganasan Israel di Jerusalem (dibincang), dan tindakan mereka mengubah identiti bandar suci Jerusalem, membawa kesengsaraan penduduk Gaza yang terpaksa berhadapan dengan serangan, kebuluran, sekatan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khalid berkata Hamas turut menyampaikan harapan mereka agar Dr Mahathir sebagai pemimpin kanan Ummah Muslim, memainkan peranan dalam menamatkan keganasan terhadap penduduk Palestin, terutama di Semenanjung Gaza.

"Kami juga berbincang mengenai tawaran 'deal of the century' yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perjuangan Palestin dan usaha mereka menyelesaikan isu-isu di palestin dengan cara yang tidak adil," tambahnya.

Beliau mendakwa bahagian ekonomi dalam tawaran itu yang akan diumumkan di Bahrain bulan depan disasar untuk mengalih perhatian orang ramai daripada perjuangan sebenar Palestin.

Khalid berkata perjumpaan itu juga memberikan peluang terbaik baginya untuk memberitahu rakyat Malaysia melalui media tempatan bahawa rakyat Palestin tegas dan menentang pendudukan, serta pendirian mereka yang kukuh mengenai tanah air mereka.

"Kami mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan, pemimpin Ummah Muslim dan seluruh dunia dalam usaha mendapatkan kembali hak-hak kami, dan menolak pendudukan Israel," katanya.

-- BERNAMA