Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mencadangkan untuk mengambil alih projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada November tahun lepas, kata Presiden, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan bekas Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Menurut Anwar, kos pengambilalihan yang disetujui telah melebihi RM555 juta yang merupakan kos pelaburan asal LTAT untuk mengambil alih projek daripada dua syarikat swasta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menegaskan bahawa harga pengambilalihan penuh yang dipersetujui bagi projek oleh kerajaan BN, melalui Kementerian Kewangan (MOF), adalah kos pelaburan penuh LTAT, ditambah dengan "pulangan 12 peratus setahun" untuk dua setengah tahun yang dimiliki oleh LTAT.

Berikut adalah kenyataan penuh Tan Sri Anwar:

Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan baru-baru ini berkaitan dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Patriot Kebangsaan berhubung penglibatan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam projek AES.

Pada tahun 2014, LTAT telah dijemput oleh Kerajaan terdahulu untuk mengambil alih ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, dua syarikat yang mendapat tawaran untuk membekal, memasang dan menyelenggara 1,093 kamera di lokasi strategik di jalan raya, lebuh raya dan di lampu isyarat di seluruh Malaysia yang dinamakan sebagai projek AES bagi menyokong Jabatan Pengangkutan Jalan di dalam usaha mereka untuk menggalakkan pemanduan berhemah dan mengurangkan kecelakaan di jalan raya.

Berdasarkan butiran dan maklumat yang diperolehi menerusi Perjanjian Konsesi di antara kedua-dua syarikat berkenaan dan pihak Kerajaan, satu kajian menyeluruh dan penelitian usaha wajar (due diligence) telah dijalankan oleh LTAT. Projek ini didapati berpotensi berdaya maju dengan pulangan “double digit” yang kukuh ke atas pelaburan kepada LTAT di samping dapat membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera dan mengurangkan kemalangan dan kecelakaan di jalan raya Malaysia.

Berdasarkan prosedur-prosedur pelaburan LTAT, cadangan ini telah dibentang dan diluluskan oleh Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah LTAT. Pada 2015, Kabinet telah meluluskan cadangan pengambilalihan projek AES oleh LTAT dan dalam bulan November 2015 telah meluluskan model kewangan baru termasuk struktur bayaran saman baru bagi projek ini yang dijenamakan semula sebagai AWAS.

Walau bagaimanapun dalam bulan November 2017, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah mengambil keputusan untuk mengambil alih projek AES (AWAS) daripada LTAT dan membayar balik semua kos pelaburan LTAT dalam projek AES termasuk pulangan 12% setahun.

LTAT percaya bahawa projek AWAS (AES) ini adalah satu projek yang baik dan berupaya memain peranan yang positif dalam membantu mengurangkan kemalangan dan kecelakaan jalan raya sepertimana terbukti di dalam kaji selidik yang dijalankan di UK dan USA. Model kewangan LTAT berupaya juga memastikan situasi menang-menang untuk semua pihak yang terlibat di dalam projek ini. Bagi LTAT, di samping memperolehi pulangan atas pelaburannya yang berpatutan dan berkekalan untuk jangka masa yang panjang, ia juga dapat membantu untuk memberi pekerjaan kepada veteran-veteran angkatan tentera.

Walau bagaimanapun sekiranya pihak Kerajaan mengambil keputusan untuk hanya membayar wang LTAT bagi pengambilalihan kedua-dua syarikat berkenaan tanpa membayar lain-lain perbelanjaan yang diguna oleh LTAT dalam pengambilalihan kedua-dua syarikat tersebut sehingga kini dan juga pulangan 12% setahun sepertimana yang dipersetujui oleh Kerajaan terdahulu ketika pengambilalihan AES dalam bulan November 2017, ini adalah tidak adil kepada LTAT dan tidak selaras dengan Perjanjian Konsensi yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Keputusan yang saling bertukar bagi projek AES ini oleh kerajaan terdahulu sepatutnya tidak memberi kesan ke atas pulangan kepada LTAT bagi pelaburan yang diambil berasaskan pertimbangan komersial.

Untuk rekod, LTAT telah membayar purata 11.3% dividen setiap tahun kepada ahli-ahlinya yang masih berkhidmat dengan Angkatan Tentera semenjak 46 tahun yang lalu. Di samping itu, LTAT juga telah membelanjakan sejumlah RM428.6 juta bagi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk menawarkan biasiswa kepada anak-anak anggota tentera dan veteran, memberi subsidi untuk rumah mampu milik yang dibina dan dijual kepada anggota-anggota angkatan tentera dan veteran, memberi subsidi dalam penjualan barangan pengguna di kedai-kedai PERNAMA dan menyumbang kepada pelbagai program anggota tentera dan veteran.

Syarikat-syarikat LTAT juga terutamanya Kumpulan Boustead telah juga berjaya menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan pembangunan vendor kepada ahli-ahli veteran di dalam sektor-sektor pembinaan, membaik pulih dan penyelenggaraan kapal, peruncitan, hospitaliti (hotel) dan perladangan.