SEORANG bekas peserta program realiti nyanyian otai, Jamaliah Saadun, 48, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka semalam atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan pada Disember tahun lalu.

Jamaliah turut didakwa bersama dua rakannya, Mohd Idris Yasmir, 34, dan Muhammad Dhirar Raihan, 33 dan masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas harta milik seorang warga emas M Kesavann, 60, iaitu rantai emas, wang tunai dan sebuah kereta dengan anggaran kerugian RM24,680.

Kejadian didakwa berlaku di tepi Jalan Seri Emas 50, Taman Teluk Mas, Melaka, pada 3 pagi 15 Disember 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Elesabet tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Jamaliah sekali lagi didakwa bersama seorang rakan wanitanya, Madura Mahat, 40, atas pertuduhan merompak telefon bimbit dan mencederakan seorang lagi warga emas, Muhammad Miskeen Kind Marhoom, 70, dengan menyeret mangsa menggunakan kereta, di tepi jalan Seri Mangga 8, Taman Seri Mangga, Melaka, pada 11.25 pagi, 18 Disember 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Norma Ismail membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula kes.