Seorang bekas anggota polis dihadapkan di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas tuduhan menyalahgunakan wang pembayaran insurans lebih RM100,000.

J. Kristof, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan majistret, Mohd Hairol Jemain.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Kristof yang juga seorang ejen insurans dituduh dengan curang telah menyalahgunakan wang tunai pembayaran insuran pelanggannya bagi kegunaan sendiri kira-kira RM56,000 setiap pertuduhan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 15 Ogos dan 8 September 2017 di K.J. Agency, Jalan Taming Sari, Taiping, Perak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh diwakili peguam P. Ravee.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Disember depan dengan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.