Bekas Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan meninggal dunia awal pagi ini akibat kanser kolon.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau meninggal dunia jam 1:55 pagi di Hospital Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.

Solat jenazah Allahyarham telah dilaksanakan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, selepas solat Subuh hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta anggota TLDM yang lain.

Jenazah Allahyarham dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves pada jam 8 pagi.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi tweetnya awal pagi ini.


Anuwi dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut, Markas Markas Tentera Laut pada 18 Nov 2015.

Sebelum ini, beliau telah menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau menyertai TLDM pada Februari 1978 setelah menamatkan latihan di Pusat Latihan Kadet dan Rekrut, Kem Khatib, Sembawang, Singapura dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Mei 1980.

Sebelum mengambilalih jawatan sekarang, beliau telah memegang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Memerintah KD Serampang, KLD Tunas Samudera dan KD Mahawangsa.

Beliau juga telah diperjawatkan sebagai Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi, Markas Tentera Laut dan Pengarah Risik Laut di Markas Tentera Laut.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Adida Abdul Aziz serta tiga orang cahaya mata.