Bekas vokalis kumpulan Panji meninggal dunia

Bekas vokalis kumpulan Panji meninggal dunia
Mohd Rafi yang lebih dikenali sebagai Opie, 48, menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Suhailiza Ahmad, 42 tahun, pada pukul 4.10 pagi tadi selepas menderita pelbagai komplikasi penyakit termasuk Hepatitis C. - Foto Astro AWANI
DUNGUN: Bekas vokalis kumpulan Panji Mohd Rafi Ibrahim, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, awal pagi tadi.

Mohd Rafi yang lebih dikenali sebagai Opie, 48, menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Suhailiza Ahmad, 42 tahun, pada pukul 4.10 pagi tadi selepas menderita pelbagai komplikasi penyakit termasuk Hepatitis C.

Perkara itu disahkan adik bongsu arwah, Siti Marina Ibrahim, 38 tahun, yang memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jerangau, Dungun, tengah hari ini.
"Arwah abang menghidap kencing manis sejak tiga tahun lalu namun tahap kesihatan abang selepas itu yang merupakan anak keempat dari lapan beradik kembali merosot sejak enam bulan lalu selepas disahkan menghidap penyakit hati (Hepatitis C)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Opie sebelum ini dikejarkan ke ke HTAA 4 Ogos lepas selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Indera Sempurna, di sini, sebelum dirawat di hospital itu.

Sebelum ini Opie yang mencari rezeki sebagai tukang paip dikhabarkan sudah tiga bulan tidak bekerja akibat menderita pelbagai komplikasi penyakit seperti kencing manis, bengkak hati dan jangkitan kuman dalam salur makanan.

Opie yang pernah popular dengan album Senang pada tahun 1993 hingga tercalon untuk anugerah Artis Baharu Terbaik (Berkumpulan) pada Anugerah Industri Muzik 1993.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kasih Yang Tidak Pasti meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.