Bekerja untuk negara bukan untuk Anwar atau Dr Mahathir - Tun M

Bekerja untuk negara bukan untuk Anwar atau Dr Mahathir - Tun M
Dr Mahathir berkata bekerja bersungguh-sungguh dan rajin, sesebuah negara dapat dimajukan dan rakyat dapat menikmati hasil dari kerja keras itu. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru seluruh rakyat agar bersama membangunkan negara dengan bekerja bersungguh-sungguh.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia seharusnya bekerja bersungguh-sungguh demi rakyat dan negara bukan untuk mana-mana pemimpin.

Katanya hanya dengan bekerja bersungguh-sungguh dan rajin, sesebuah negara dapat dimajukan serta rakyat dapat menikmati hasil daripada kerja keras itu.

"Saya boleh sebut sekali lagi bahawa kita boleh!, Malaysia Boleh! tapi kalau tak nak buat tak boleh lah.
"Saya harap dengan adanya pilihanraya kecil ini, maka kemenangan diberi kepada Pakatan Harapan, kepada Datuk Seri Anwar.

"Saya harap kita dapat terus bekerja, bukan bekerja untuk Datuk Seri Anwar, bukan bekerja untuk Dr Mahathir, bukan bekerja untuk Mohamad sabu atau (Lim) Guan Eng, bekerja untuk negara yang kita sayangi, untuk rakyat Malaysia yang telah beri peluang kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara kita ini," kata dalam satu ceramah mega di Port Dickson malam ini.

Turut dihadiri kira-kira 10,000 orang yang terdiri daripada pengundi Port Dickson, jentera Pakatan Harapan serta penyokong.

Ia merupakan penampilan pertama kali Dr Mahathir di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dikcson sejak penamaan calon yang diadakan pada 29 September yang lalu.

Ceramah mega di PRK Port Dickson itu juga mencatat sejarah sendiri kerana ia menyaksikan Dr Mahathir dan Anwar kembali sepentas selepas berlaku krisis antara dua pemimpin itu sejak 1998.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mohd Isa.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan sebagai hari pengundian awal.