Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan penuntut universiti awam.

Bagaimanapun Presidennya, Adib Ashman Burhan Burhanudin menegaskan tiada sebarang laporan rasmi diterima pihaknya buat masa kini berhubung isu tersebut (rasuah).

Tambahnya, berdasarkan pemantauan, sebahagian besar penuntut tidak mengetahui rasuah berlaku dalam aktiviti seharian termasuk menawarkan ganjaran seperti membelanja makan tengah hari.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya penerimaan dan pemberian rasuah di peringkat universiti. Sebagai contoh, sekiranya saya tidak pergi ke kelas dan kemudian saya meminta rakan saya menandatangani kehadiran bagi pihak saya.

"Sebagai ganjaran saya pula akan membelanja rakan saya (yang menandatangani kehadiran) makan tengah hari dan sebagainya. Itu kategori rasuah.
"Tetapi ramai dalam kalangan mahasiswa tidak tahu sama ada ketelusan, integriti atau tindakan itu betul atau tidak, diterima masyarakat atau tidak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Justeru, beliau menyokong cadangan dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim supaya kerajaan mewujudkan Modul Pencegahan Rasuah di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kami menyokong pandangan Razali kerana ia merupakan satu amalan yang amat baik. Tetapi bukan satu kursus yang baharu kerana ia akan menjadi bebanan kepada mahasiswa malah terdapat kemungkinan mereka tidak akan mengikuti kursus tersebut.

"Sebaliknya, modul itu perlu diterapkan dalam kursus sedia ada seperti Kursus Hubungan Etnik dan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS)," katanya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menyokong pewujudan modul tersebut.

Jelasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mewujudkan modul terbaik yang pada masa sama tidak membebankan mahasiswa.

"Bagaimanapun, SPRM hendaklah mencari jalan dan strategi sistematik supaya ia dapat diterima mahasiswa.

"Sudah tentu modul anti rasuah ini begitu penting sekiranya kita wujud di IPT memandangkan golongan mahasiswa berdepan masalah integriti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tegasnya, penuntut universiti awam perlu menyedari dan mengetahui erti sebenar rasuah, integriti, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Bagaimanapun, Akhbar berkata pendidikan anti rasuah perlu diterapkan sebagai pendidikan awal kanak-kanak terutama dalam institusi kekeluargaan.