Belanjawan 2019 dijadual akan dibentangkan di Parlimen pada 2 November 2018 ini. Belanjawan 2019 kali ini menjadi tumpuan umum kerana dua sebab utama.

Pertamanya ia adalah belanjawan sulung di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan keduanya rakyat meletakkan harapan besar kepada agenda pemulihan ekonomi terutamanya yang berkait dengan isu kos sara hidup.

Dengan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa dan dasar pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), Belanjawan 2019 kali ini dijangka melibatkan beberapa perubahan. Antara perubahan-perubahan itu ialah:

• Pengecilan peruntukan perbelanjaan

Peralihan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyebabkan hasil cukai kerajaan berkurangan sebanyak 11 peratus berbanding dengan sumbangan GST.

Di bawah pelaksanaan SST, kerajaan dijangka mengutip RM21 bilion pada tahun depan berbanding RM44 bilion menerusi GST. Penggurangan hasil cukai kerajaan dijangka memberi dua implikasi kepada ekonomi.

Kos sara hidup, Membeli belah, Orang Ramai

Pertama, perbelanjaan kerajaan akan menguncup selari dengan dengan jumlah kutipan hasil yang berkurangan. Kedua, wujud kemungkinan untuk kerajaan memperkenalkan cukai baharu seperti cukai soda bagi menampung jumlah hasil yang berkurangan.

• Perubahan corak perbelanjaan

Menyedari kepentingan perbelanjaan pembangunan sebagai pelaburan jangka panjang ekonomi, Belanjawan 2019 dijangka memberi peruntukan yang lebih tinggi kepada perbelanjaan pembangunan.

Untuk rekod, peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2018 dan 2017 adalah sama iaitu RM46 billion walaupun peruntukan perbelanjaan keseluruhan bertambah.

Pertukaran GST kepada SST.

• Fokus terarah kepada “kualiti” pertumbuhan

Jajaran semula diperlukan ke atas pendekatan-pendekatan yang dirancang bagi mencapai matlamat “pertumbuhan dengan pengagihan”. Keutamaan perlu diberikan kepada pelaburan berkualiti yang terarah kepada sektor-sektor ekonomi yang boleh memberi impak limpahan besar kepada keseluruhan ekonomi.

Paling penting adalah memastikan manfaat pertumbuhan dikongsi secara adil dalam kalangan rakyat. Pertumbuhan tahun 2016-2017 walaupun memberangsangkan tetapi tidak memberi manfaat secara menyeluruh terutamanya kumpulan isi rumah B40.

• Penilaian semula mekanisma bantuan kewangan

Jumlah dan mekanisma bantuan kewangan BR1M dijangka dikaji semula berdasarkan kedudukan kewangan semasa kerajaan dan sejauhmana bantuan tersebut menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti.

Wujud dua kemungkinan iaitu sama ada jumlah bantuan kewangan dikurangkan atau mekanisma bantuan ditambahbaik. Terdapat dua penambahbaikkan yang boleh berlaku. Pertama, sistem pemberian bantuan tunai digantikan dengan pemberian dalam bentuk barangan keperluan. Kedua, bantuan kewangan diberi secara bersyarat.

Walaupun terdapat perubahan corak perbelanjaan di dalam Belanjawan 2019, masalah utama yang membelenggu rakyat sejak beberapa tahun lalu perlu ditangani dengan betul. Secara analoginya, kita tidak mahu menghadapi situasi di mana pesakit cirit-birit diberi ubat kencing manis. Kita perlu diagnos masalah secara mendalam dan memberi penyelesaian yang betul kepada masalah tersebut.

Bantuan kewangan

Contohnya, menangani masalah kos sara hidup memerlukan kepada pendekatan yang terarah kepada intervensi pasaran. Bebanan kos sara hidup dirasai oleh segenap lapisan rakyat akibat daripada pergerakkan gaji dan upah yang lebih perlahan berbanding dengan pergerakkan tingkat harga. Peningkatan tingkat harga makanan dan perumahan adalah dua perkara segmen utama yang memerlukan perhatian serius.

Cukai SST bukanlah punca utama kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Cukai SST dianggar hanya menyumbang sekitar 0.6 peratus kepada keseluruhan kos pengeluaran. Di antara bulan Mei dan Ogos 2018, iaitu tempoh yang tiada cukai, peratusan penurunan harga barangan dan perkhidmatan adalah sangat kecil.

Dalam tempoh tersebut, harga barangan dan perkhidmatan keseluruhan ekonomi hanya turun 1.1 peratus manakala harga makanan hanya turun 1.0 peratus.

Impak SST hanya minimal kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan di dalam kos pengeluaran akibat daripada tekanan kos bahan mentah. Bahan mentah yang digunakan di dalam proses pengeluaran sebahagian besarnya diimport.

Bantuan kemudahan ubat-ubatan dan fasiliti perubatan.

Susutan nilai ringgit bermakna kos import menjadi lebih mahal dan seterusnya menyebabkan harga barangan di pasaran menjadi lebih tinggi. Selain itu, sifat pasaran yang bersifat monopoli juga menjadi penyumbang kepada penetapan harga pasaran.

Di dalam kes menangani kos sara hidup, bantuan kewangan daripada kerajaan hanya bersifat penyelesaian jangka pendek. Penyelesaian jangka panjang yang terarah kepada penambahbaikan sistem pasaran perlu diutamakan.

Oleh itu kita harap Belanjawan 2019 akan memberi harapan baharu kepada rakyat untuk melihat pemulihan dan reformasi struktur ekonomi yang lebih inklusif.

_____________________________________________________________________________________

Mohd Yusof Saari (Yusof) adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Email: [email protected] /[email protected]