Permintaan rakyat untuk menambah subsidi dan mengurangkan cukai adalah sukar untuk dilaksanakan.

Ia dilihat tidak munasabah kerana kedua-duanya perlu diseimbangkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya ada membaca permintaan rakyat, iaitu mahukan cukai yang lebih rendah dan meningkatkan subsidi.

"Sekiranya cukai terlalu rendah, kita tidak akan mempunyai wang dan tidak boleh memberi subsidi, " kata Tun Mahathir.

Beliau menjawab soalan berkenaan apa yang boleh dijangkakan rakyat dari Belajawan 2020 yang bakal dibentangkan pada Jumaat.

Tambah Tun Mahathir, subsidi akan disaring sebelum disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Saringan ini termasuklah bagi mereka dalam kalangan B40 kerana tidak semua yang berada dalam golongan ini memerlukan subsidi.

"Kami akan memperincikan siapa yang harus menerima subsidi daripada kerajaan. Malah kerajaan juga akan cuba mengenakan cukai yang lebih kepada golongan berkemampuan," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Net Zero Carbon Pavilion, serentak dengan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia (IGEM) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Menteri Pembangunan Usahawan; Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof serta Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Acara anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) ini bertujuan mewujudkan satu platform bagi pemain industri untuk meneroka pasaran ASEAN yang berkembang pesat dengan mempamerkan inovasi terkini kepada pembuat dasar, organisasi kerajaan dan pelabur.