Geran sebanyak RM445 juta akan diberikan daripada segi akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan Bumiputera.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia termasuk RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

"Kedua, RM75 juta untuk membina kapasiti PKS Bumiputera oleh SMECorp, yang merangkumi program untuk meningkatkan pemasaran, pembungkusan dan celik kewangan.

"Ketiga, RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan keempat, RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Jelasnya, Kerajaan juga akan terus menyokong projek strategik menerusi program pembiayaan di bawah Bank Pembangunan Malaysia (BPMB).

Ia yang menawarkan subsidi faedah dua peratus setahun melalui Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan yang ditingkatkan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, Dana Maritim & Logistik bernilai RM1 bilion dan Dana Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM2 bilion yang akan menyokong pelaksanaan projek kesalinghubungan digital.

Sementara itu, jelasnya, kerajaan mengasingkan unsur politik daripada pembiayaan dengan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina.

Pembiayaan itu akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah 4 peratus setahun.

Bagi usahawan etnik India pula, kata Guan Eng, Kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.

Ujarnya, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India dengan kadar faedah 4 peratus setahun.