Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memohon dana khas berjumlah RM6 bilion bertujuan mencipta peluang pekerjaan baharu bagi golongan belia.

Menurut menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penyaluran dana itu dilihat dapat mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, dana itu juga akan digunakan bagi tujuan insentif pendapatan untuk golongan itu.

“Kita boleh menang 100 pingat di persada dunia, tetapi kalau politik perut anak muda tidak dapat diselesaikan, we won’t go far.

"Ini asas bagi mereka, bukan sahaja pekerjaan tetapi pekerjaan yang berkualiti.

“Sebab itu saya memohon bahawa Perdana Menteri khususnya akan meluluskan dana khas berjumlah RM6 bilion untuk tujuan ciptaan pekerjaan baharu bagi anak muda dan income incentive bagi anak muda dalam tempoh masa lima tahun yang boleh mendapatkan dalam 350,000 pekerjaan bagi golongan anak muda,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu berkata perinciannya masih belum boleh didedahkan.

Beliau menyuarakan harapan agar Menteri Kewangan Lim Guan Eng dapat mengumumkan dana itu dalam sesi pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini.

“(Dana ini) akan memberi fokus kepada anak muda yang menganggur dan yang ada ijazah, ia akan memfokuskan kepada anak muda yang bekerja dalam sektor seperti Grab, Foodpanda, yang walhal ada degree.

"Bagaimana kita nak upskill mereka. (Dana ini) akan fokus kepada anak muda yang hilang kerja kerana digantikan dengan perkerja asing. So ada banyak kategori-kategori,” jelasnya lagi.