Tutup

Belanjawan 2020: Kerajaan cadang gaji minimum naik RM1,200, tetapi untuk bandar utama sahaja

Belanjawan 2020: Kerajaan cadang gaji minimum naik RM1,200, tetapi untuk bandar utama sahaja
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, Guan Eng berkata, kenaikan itu hanya untuk di wilayah bandar utama sahaja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaikkan gaji minimum dari RM1,100 sebulan kepada RM1,200 sebulan berkuatkuasa tahun 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, bagaimanapun kenaikan itu hanya untuk di wilayah bandar utama sahaja.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Justeru, bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama, Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020,” katanya lagi.
Selain itu, Guan Eng berkata, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu, kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memodenkan pasaran buruh negara dengan menambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja.

Beliau berkata, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.
Antara yang akan dikaji semula termasuk:-
  • Naikkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari bermula 2021.
  • Memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa kepada golongan berpendapatan kurang RM4,000.
  • Menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur
  • Memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina


Tag: belanjawan 2020, bajet 2020, lim guan eng, dewan rakyat, kerajaan, malaysia, rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.