BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober 2019 di Parlimen merupakan pembentangan belanjawan kali kedua olehnya sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya.

Belanjawan 2020 melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM297 bilion iaitu RM 19.5 bilion lebih daripada Belanjawan 2019.

Hampir semua penganalisis ekonomi tempatan dan luar negara menyifatkan Belanjawan 2020 ini sebagai sederhana. Malah, ada juga pihak yang menyifatkan belanjawan ini bersifat ‘expansionary’ atau lebih mengutamalan perluasan peluang perniagaan dan meraih hasil negara (cukai) untuk memuaskan hati agensi penarafan.

Ada juga yang menyifatkan Belanjawan 2020 ini lebih menguntungkan peniaga berbanding rakyat biasa yang berpendapatan rendah, terutamanya mereka dalam kategori B40.




Belanjawan pincang

Malah, ada pihak yang mendakwa kepincangan dan kelemahan yang terdapat dalam Belanjawan 2019 iaitu belanjawan pertama kerajaan PH masih berulang dalam dalam belanjawan kedua ini.

Pada umumnya, tidak dapat dinafikan Belanjawan 2020 meluluskan peruntukan tambahan untuk beberapa sektor terutamanya sektor-sektor yang melibatkan kesejahteraan rakyat, berbanding Belanjawan 2019.

Malah, peruntukan khas melibatkan berjuta-juta ringgit disediakan untuk perkhidmatan-perkhidmatan baru seperti MySalam, Graduates@work dan program-program baru seperti Malaysia@work, Women@Work, Locals@Work dan Apprentice@Work serta latihan bagi usahawan Micro-Digital dan sebagainya.

Dengan itu, Belanjawan 2020 bukan sahaja diharapkan akan dinikmati oleh sebahagian besar rakyat bandar dan luar bandar, malah dijangka mengembirakan semua pihak.

Sebagai contoh, peruntukan untuk kumpulan nelayan ditambah daripada RM200 juta kepada RM250 juta, kumpulan petani pula disediakan RM200 juta, bantuan pembangunan Orang Asli disediakan RM57 juta, bidang sukan dan kemajuan olahraga di sediakan RM229 juta, pembangunan sukan bola sepak disediakan RM45 juta, pembangunan e-sports disediakan RM20 juta, RM30 juta disediakan untuk membantu petani di Langkawi, pengenalan skim EPF bagi pengiat seni dan artis-artis yang terlibat dalam industri hiburan.

Namun, tambahan peruntukan ini tidaklah menyeluruh malah disifatkan sebagai tidak mencukupi seperti ‘A bit here, a tad there’, yang membawa maksud sedikit sini, sedikit sana, tetapi tidak mencukupi di mana-mana.

Dalam pada itu, RM300 juta disediakan untuk sektor pembangunan dan pinjaman SME Bumiputra, RM100 juta untuk pembangunan usahawan kaum Cina, RM20 juta bagi pembangunan usahawan India melalui TEKUN dan RM250 juta untuk bantuan Sekolah Menengah Cina persendirian.

Selain itu, Bantuan Sara Hidup Rakyat (dahulunya dikenali sebagai (BR1M) antara RM500 sehingga RM1,000 setahun bagi kira-kira 3.6 juta rakyat, Bantuan Sara Hidup hidup melibatkan 1.1 juta orang bujang melebihi umur 40 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan, Program Sarapan Percuma bagi kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah yang membabitkan perbelanjaan RM1.67 bilion setahun juga disediakan.

Malah, diskaun 18 peratus pada kadar tol di semua lebuhraya PLUS bagi semua kenderaan mulai tahun 2020 dan subsidi minyak bagi kereta motor dan motosikal disediakan.


India kecewa

Namun, kaum India merasa amat kecewa malah tidak puas hati dengan Belanjawan 2020 kerana peruntukan yang disediakan oleh kerajaan PH untuk pembangunan dan kepentingan kaum India dilihat amat kecil berbanding peruntukan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Sebagai contoh, peruntukan untuk baik pulih Sekolah Tamil disediakan sebanyak 50 juta dan Skim Pembangunanan Usahawan India melalui Tekun disediakan sebanyak RM50 juta berturut-turut dalam bajet Kerajaan BN malah RM1 bilion disediakan untuk Pelan Tindakan Pembangunan India (MIB) bagi tempoh 10 tahun, Tabung Amanah 1 Malaysia (PNB) sejumlah 1.5 bilion unit dikhaskan untuk kepentingan kaum India dalam Bajet 2018.

Maka, kekurangan dalam jumlah peruntukan yang disediakan untuk kepentingan kaum India oleh Kerajaan PH dalam Belanjawan 2020 ini mengecewakan malah menghampakan harapan sebahagian besar kaum India yang menyokong hebat PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Ada pihak yang mendakwa kerajaan PH tidak langsung mengambil kira faktor bahawa sokongan hampir 85 peratus pengundi India yang menyebabkan PH menguasai Putrajaya.

Harapan sebahagian besar pengundi India yang percaya dan yakin kepada kepimpinan PH yang berjanji bermacam-macam termasuk lebih besar peruntukan daripada apa yang disediakan oleh kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup sosio-ekonomi masyarakat India tinggal harapan sahaja.

Selain itu, walaupun Bajet 2018 yang disediakan oleh kerajaan BN melibatkan hanya RM280.25 bilion lebih rendah daripada Belanjawan 2020 kerajaan PH, rakyat yang terdiri daripada semua kaum dan lapisan masyarakat akan merasa gembira dan puas hati malah media tempatan dan luar negara mensifatkan Bajet 2018 kerajaan BN sebagai bajet bersifat inklusif, mesra rakyat malah menggembirakan semua pihak.

Sebaliknya, Belanjawan 2020 disifatkan sebagai belanjawan yang kurang menggembirakan semua pihak, tetapi lebih menguntungkan satu pihak tertentu iaitu kaum peniaga sahaja.

Malah, penyediaan Belanjawan 2020 didakwa lebih memfokuskan kepada faktor agensi penarafan daripada faktor kesejahteraan dan kepuasan rakyat.

Dengan itu, ada pihak yang mendakwa kerajaan PH tidak bersungguh-sungguh atau teliti dalam menyediakan Belanjawan 2020 seperti pepatah ‘Seperti melepaskan batok di tangga'.

Kedengaran juga di sana sini masyarakat India bertanya-tanya, apakah hanya seorang menteri MIC yang mewakili kaum India dalam kerajaan BN terdahulu menjamin pengagihan peruntukan yang adil kepada pembangunan kaum India?

Manakala empat orang Menteri kononnya mewakili kaum India dalam Kabinet Kerajaan PH tidak mampu memastikan kaum India dapat peruntukan yang adil dalam Belanjawan 2020!



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI