Peruntukan RM30 juta untuk penghasilan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi akan memberi manfaat kepada lebih 1,200 petani.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

"Bagi meningkatkan hasil padi, kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

"Kerajaan juga akan memperuntukan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memperuntukan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh kepada nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan.

Jelasnya, Elaun Sara Hidup Nelayan pula akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.