Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk meningkatkan agenda Bumiputera manakala sebanyak RM1.3 bilion pula untuk menegakkan syiar Islam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, peruntukan untuk memperkasa agenda Bumiputera dinaikkan kepada RM8 bilion untuk tahun depan berbanding RM7.6 bilion tahun 2019.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020, beliau berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi tiga inisiatif seperti RM6.6 bilion kepada institusi Bumiputera yang fokus dalam pendidikan seperti MARA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju.

Kerajaan juga, kata beliau, mengumumkan RM1 bilion bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui SJPP dan SME Bank dan RM445 juta diperuntukkan untuk program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, PUNB, PHB dan TERAJU.

"RM445 juta diperuntukkan untuk program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, PUNB, PHB dan TERAJU," tambah beliau.


Selain itu, Menteri Kewangan turut mengumumkan peningkatan peruntukan kepada RM1.3 bilion demi menegakkan syiar Islam, berbanding RM1.2 bilion yang diterima pada 2019.

"Kerajaan juga akan menaikkan elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA sedia ada dengan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta," katanya.

Selain peruntukan RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Menteri Kewangan turut mengumumkan bantuan khas one-off RM500 kepada setiap imam, bilal (muazzin), tok siak/ noja / marbot (penjaga masjid) dan guru takmir.