Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion pada 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan tersebut membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2018, Sabah dan Sarawak merupakan penerima tertinggi pemberian Kerajaan Persekutuan masing-masing sebanyak RM1.14 bilion dan RM1.3 bilion.

"Dalam semangat yang sama, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk meningkatkan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

"Pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan sebahagian daripada geran persekutuan.

"Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas tahunan ini iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak semula," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang di Dewan Rakyat pada Jumaat.


Jelas Guan Eng, buat pertama kalinya bermula tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

Katanya, Kerajaan juga akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu, sejumlah RM4.85 bilion juga akan disediakan di bawah MARRIS kepada semua Kerajaan Negeri untuk penyelenggaraan jalan raya negeri.

"Garis panduan sedia ada tidak membenarkan dana MARRIS digunakan untuk kerja-kerja membaiki dan menaik taraf jalan. Justeru, untuk memberi lebih kelonggaran, Kerajaan Negeri dibenarkan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun dengan menggunakan dana MARRIS sehingga 15 peratus atau RM20 juta, yang mana lebih rendah.

"Bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, Kerajaan akan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke kawasan luar bandar," katanya.