Belasungkawa: Perginya sultan berjiwa rakyat

Belasungkawa:  Perginya sultan berjiwa rakyat
Almarhum Sultan Ahmad Shah, yang merupakan Sultan Pahang kelima telah diputerakan jam 12 tengah hari pada 24 oktober 1930 di Pekan, Pahang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah mangkat hari ini jam 8.50 pagi, pada usia 89 tahun.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan sultan berjiwa rakyat itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, di sini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima telah diputerakan jam 12 tengah hari pada 24 Oktober 1930 di Pekan, Pahang.

Sewaktu kecil, Almarhum baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan.



Setelah tamat darjah empat pada usia 10 tahun, Almarhum baginda melangkah ke Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Persekolahan Almarhum baginda terganggu pada era perang Jepun di akhir tahun 1941 dan baginda pulang ke Pekan.

Zaman Jepun tidak membantutkan pendidikan Almarhum baginda yang menghadiri Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar di Pekan.

Almarhum baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Clifford Kuala Lipis sebelum menyambung persekolahan ke Maktab Melayu Kuala Kangsar

Almarhum baginda melanjutkan pelajaran ke Worcester College Oxford pada tahun 1950 dan terus ke University College Exeter.

Bagi tujuan praktikal, Almarhum baginda turut menerima latihan di pejabat daerah tempatan Sidmouth, Devon.

Almarhum baginda melangsungkan perkahwinan Dengan Tengku Ampuan Hajjah Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 24 April 1954.

Pasangan diraja itu dikurniakan dua putera dan lima puteri.

Almarhum baginda dimasyhurkan sebagai sultan dan raja pemerintah negeri Pahang apabila Sultan Sir Abu Bakar mangkat pada 5 Mei 1974.

Almarhum Sultan Ahmad Shah juga memegang jawatan Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1975 sebelum dilantik menjadi yang Dipertuan Agong ke-tujuh.

Permaisuri Almarhum baginda Tengku Ampuan Pahang mangkat pada 29 Jun 1988 setelah menjalani rawatan perubatan beberapa bulan di Amerika Syarikat.

Pada 14 Mac 1991, Almarhum baginda mengahwini Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom.

Hasil perkongsian perkahwinan, pasangan diraja dikurniakan Putera Tengku Fahd Mu'adzam yang bergelar Tengku Arif Temenggong Pahang.


Tag: Sultan Pahang, Menteri Besar, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta in Billah ibni Almarhum Sultan A, Yang di-Pertuan Agong, Malaysia, Sultan Berjiwa Rakyat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.