Polis Kelantan mendedahkan taktik terbaharu pengedar dadah di negeri itu yang menawarkan pakej pembelian dadah dan percuma senjata api.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata, tawaran pakej berkenaan dipercayai dipromosikan oleh pengedar dadah di negara jiran

"Senjata api dibekalkan penjual dadah untuk kegunaan peribadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api," kata beliau dalam sidang media di sini pada Selasa.

Kegiatan jenayah itu terbongkar selepas satu serbuan dilakukan polis di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini pada Isnin.

Dalam operasi yang diadakan pukul 12.10 tengah malam itu, empat lelaki berusia 24 hingga 53 tahun terdiri daripada penternak lembu, kontraktor dan buruh ditahan bersama 290 botol dadah heroin seberat 1.6 kilogram (kg) dan 2.7 kg syabu bernilai RM71,980.

Menurut Hassanuddin, hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki syabu dan segugus kunci di atas lantai di bahagian ruang tamu tingkat atas.

Siasatan lanjut terhadap salah seorang suspek pada operasi berkenaan membawa ke sebuah rumah di kawasan perumahan yang sama dan menjumpai beberapa bungkusan berisi heroin, syabu dan sepucuk pistol revolver dalam almari kayu.

Polis juga, kata beliau, menyita harta termasuk kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire, kereta BMW dan motosikal Yamaha Nouvo yang kesemuanya bernilai RM360,700.

Menurutnya, hasil siasatan, suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada pembekal dari Thailand di kawasan pangkalan haram pohon jambu untuk pasaran Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang dan Terengganu.

Hasanuddin berkata, semua suspek yang positif Methamphetamie memiliki rekod lampau berkaitan dadah direman selama tujuh hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1960.